Bilakah Waktu Subur Lelaki?
Setiap kali bercakap isu cuba mengandung, cuba mendapatkan anak, semua orang tahu seseorang wanita harus berada pada waktu suburnya. Selain daripada waktu itu, kemungkinan untuk hamil memang tiada. Oleh sebab waktu atau kitaran subur wanita sangat penting, jadi banyak sumber telah menceritakan tentang bagaimana mengira waktu subur wanita, bila waktu subur wanita dan sebagainya. Jika anda ingin mengetahui bilakah waktu subur anda, boleh cuba kalkulator ini. Tetapi bagaimana pula dengan lelaki? Wujudkah waktu subur untuk lelaki? Jika wanita mempunyai waktu subur sekali setiap bulan, bagaimana pula dengan lelaki? Waktu subur lelaki sekali sebulan ke dua minggu sekali ke atau tiada langsung atau setiap hari?
BILAKAH WAKTU SUBUR LELAKI?
Sebelum kita tanya bilakah waktu subur lelaki, pertama sekali kita perlu tahu, wujudkah waktu subur untuk lelaki? Jawapannya TIDAK. Berbeza dengan wanita yang hanya mengeluarkan ovum sekali sebulan, lelaki sentiasa bersedia melepaskan sperma. Waktu subur lelaki bukan bergantung pada hari dalam setiap bulan tetapi lebih kepada waktu tertentu dalam setiap hari dan juga musim.
Waktu pagi dan ketika musim sejuk merupakan waktu dimana hormon testosteron, dan hormon kesuburan lain seperti FSH dan LH paling tinggi. Ada teori yang mengatakan produksi sperma pada musim sejuk tinggi kerana suhu lebih sejuk dan waktu pagi pula dimana paras testosteron paling tinggi. Walaupun produksi atau penghasilan sperma paling tinggi ketika waktu pagi dan ketika musim sejuk, adakah ini bermakna itu waktu subur lelaki?
Tidak semestinya.
Walaubagaimana pun, waktu itu merupakan keinginan seksual mereka paling tinggi. Jadi, waktu pagi sekitar 4-7 pagi dan musim sejuk mungkin waktu terbaik untuk ‘bersama’ isteri anda sekiranya anda cuba untuk mendapatkan anak. Dan perlu juga diingatkan, wanita juga harus berada dalam kitaran subur mereka ketika itu.
FAKTOR MEMPENGARUHI KESUBURAN LELAKI
Sekarang kita tahu kan untuk lelaki tiada kitaran subur khas seperti wanita. Walaubagaimanapun, untuk cuba hamil, kedua-dua suami dan isteri harus berada dalam kesihatan yang baik dan subur. Lazimnya, bila bicara tentang kesuburan, wanita sering dipersalahkan. Sedangkan, untuk hamil perlukan ovum dan juga sperma yang sihat. Ini bermakna, lelaki juga harus mempunyai sperma yang sihat dan berkualiti untuk meningkatkan kemungkinan untuk hamil.
Terdapat pelbagai faktor yang mempengaruhi kesuburan lelaki, antaranya:
Umur– kualiti sperma lelaki akan mula merosot menjelang usia 40-an dan akan lebih signifikan menjelang usia 60-an
Nutrisi– Obesiti, atau berlebihan berat badan boleh menggangu kesihatan dan metabolisma tubuh seterusnya mengganggu fungsi ereksi.
Merokok– Apabila toksin masuk kedalam badan ianya boleh menggangu DNA dalam sperma yang sedang dihasilkan.
Dadah– pengambilan dadah secara berlebihan atau tidak terkawal akan menyebabkan pengaliran darah yang tidak lancar ke testis dan boleh mengganggu keboleh ereksi dalam jangka masa panjang.
Kafein– kafein yang berlebihan juga boleh mengganggu kesuburan lelaki dan wanita. Lelaki disaranakan agar menghadkan pengambilan kafein 300mg sehari dan wanita pula 150mg sehari.
Sekiranya anda termasuk dalam golongan yang disebutkan diatas atau memang mengalami masalah kesuburan, jangan risau, masih ada peluang untuk anda. Tingkatkan kesihatan anda bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti sperma anda dan seterusnya kemungkinan untuk hamil!
Dalam entry berikutnya, kita akan kongsi pula cara atau tips untuk meningkatkan kesuburan lelaki. Sekiranya anda mempunyai masalah kesuburan atau sememangnya sedang cuba untuk hamil, pastikan anda ikuti entry kami yang seterusnya nanti ok?