Payudara Kendur? Apa Puncanya?

Bila bicara tentang payudara pastinya ia sesuatu topik yang agak sensitif kan. Jadi, sebelum Adaa teruskan, maaf dahulu ya. Ini sekadar untuk tujuan pembelajaran dan ilmu. Bukan apa, ramai sangat  yang alami masalah payudara kendur ni tetapi malu untuk bertanya apa puncanya, bagaimana mencegah dan sebagainya. Jadi, Adaa kongsikan disini supaya boleh menjadi rujukan mereka yang memerlukan.

Payudara kita terdiri daripada tisu lemak atau adipose tissue (ini yang menentukan bentuk dan saiz payudara seseorang), kelenjar (untuk penghasilan susu), tisu penghubung (menyokong payudara). Terdapat pelbagai faktor yang mendorong kepada payudara kendur ni antaranya penuaan, gaya hidup, proses kehamilan dan banyak lagi. Ada juga yang mengatakan menyusukan anak juga salah satu faktornya tetapi tiada sebarang bukti ianya penyebab kepada kekenduran payudara. ( Jangan risau ya ibu-ibu). Jadi, apa punca terjadinya masalah ini?

 

PUNCA PAYUDARA KENDUR

1. PENUAAN

Kulit kita mula hilang elastisiti dan keanjalan apabila usia mula mencecah 40-an tetapi terdapat ramai wanita yang mengalami masalah ini seawal usia 20-an kerana pelbagai faktor. Ianya satu proses natural dimana semakin usia meningkat, kulit juga makin hilang keanjalan dan akibatnya payudara juga menjadi semakin kendur.

2. KEHAMILAN/ MENGANDUNG

Biasanya, apabila kita mengandung, lebih banyak tisu lemak terkumpul di bahagian payudara berikutan berat kita yang bertambah sepanjang kehamilan. Ini akan menyebabkan payudara lebih besar dan tegang. Tetapi selepas melahirkan anak, berat badan kita mula turun dan payudara akan kehilangan tisu lemak dan menyebabkan payudara menjadi kendur.

3. YO-YO DIET

Pernah dengar tentang yo-yo diet? Diet yang menyebabkan anda kehilangan berat badan dengan cepat dan kemudiannya kembali bertambah berat badan dengan cepat. Sama seperti kehamilan tadi, proses kurus kepada gemuk, kemudian kembali kurus menyebabkan badan dan payudara bertambah dan kehilangan lemak dengan cepat. Ligamen tubuh kita juga mungkin berada pada posisi yang tidak sama selepas berat badan bertambah dan berkurangan dan menyebabkan tiada sokongan kepada payudara. Sebab itulah payudara nampak kendur!

4. MENOPAUSE

Tisu pada bahagian dada mengecut apabila menopause. Ini akan menyebabkan payudara tidak tegang dan kendur.

 

5.  KURANG NUTRISI

Kekurangan nutrisi yang diperlukan oleh payudara untuk membesar boleh menjadi salah satu faktor yang menyebabkan payudara tidak membesar dengan baik. Contohnya, kekurangan protein boleh menyebabkan otot payudara tidak tegang, anjal dan lemah sehingga menyebabkan payudara kendur.

 

6. PEMILIHAN BRA YANG SALAH

Penggunaan bra yang tidak sesuai dari segi saiz akan menyebabkan payudara mudah menjadi kendur dan tidak cantik. Pastikan anda tahu apa yang anda perlukan dan pilih bra yang sesuai dengan anda. Payudara yang besar memerlukan sokongan yang lebih kuat jadi jika anda memakai bra yang kecil, ia tidak akan dapat menampung berat payudara dan menyebabkan payudara jatuh dan kendur.

7. MEROKOK

Apabila anda merokok, karsinogen yang terkandung dalam asap rokok yang anda sedut akan merosakkan dan memecahkan elastin dalam tubuh. Fiber elastin merupakan komponen yang bertanggungjawab dalam keanjalan kulit. Tanpa Elastin yang mencukupi, kulit akan kendur.

8. SENAMAN

Senaman yang kerap dan berimpak tinggi seperti berlari dan jogging, boleh menarik ligamen pada payudara. Aktiviti seperti ini memberikan tekanan yang lebih kepada payudara sekiranya tidak disokong dengan pemakaian bra yang sesuai ketika bersukan. Jadi, pastikan anda memakai bra yang sesuai supaya payudara tidak bergerak terlalu banyak ketika bersenam.

Ini adalah antara punca berlakunya payudara kendur. Dalam entry berikutnya nanti, kita lihat pula cara menangani masalah payudara kendur ok?

Similar Posts