#Throwback Hari Raya Di Bumi Asing
Setiap kali tiba Hari Raya mesti banyak kenangan. Bermula dari kita kecil dulu, seronoknya dapat main bunga api, dapat kasut baru baju baru (walaupun sedondon semua adik beradik macam boria), dapat berjalan sana-sini dengan kawan-kawan, dapat duit raya dan banyak lagi. Bila dah sekolah menengah, lagi terasa teruja nak menyambut hari raya sebab dapat balik rumah setelah berbulan di asrama. Ini lah masanya nak bercuti dengan gembira wehee!! Bila dah masuk kolej mungkin dah kurang sikitlah, sebab dah besar. Taklah teruja macam kanak-kanak dulu. Tetapi bila dah masuk universiti, nak-nak dinegara orang pula, tak dapat balik kampung, jiwa yang tak berapa nak raya tadi tetiba rasa nak balik raya huhu.
HARI RAYA DI BUMI BELFAST
Sebelum kita throwback adaa kongsi dulu satu video sumbangan pelajar di Belfast pada tahun 2011. Walaupun adaa dah pulang ke Malaysia 2008 lagi, tapi dalam video ni ramai muka-muka yang masih adaa ingat sampai sekarang dan juga tempat-tempat yang pernah Adaa lawati dan tinggal dulu. Rindunya!!
SUASANA PAGI HARI RAYA DI BELFAST
Memandangkan ianya bukan perayaan rasmi di UK, jadi memang sah-sah tak dapat cuti ke apa. Kalau hari raya jatuh pada hari cuti, Alhamdulillah, dapatlah beraya. Kalau tak, selalunya kita ponteng kelas kejap lah untuk pergi solat sunat Aidil Fitri hehe lepas tu baru ke kelas.
Masa tu bukan main lagi lah masing-masing melaram dengan baju raya ke kelas. Lawa habis lah tu. Seronok sebab walaupun terpaksa juga hadir ke kelas, tapi rakan-rakan sefakulti ramah mengucap Eid Mubarak kepada kita. Yang mat saleh tu sibuklah bertanya itu ini dan kita dengan senang hati menerangkan tentang perayaan kita. Jadi popular lah sekejap kan.
Rasanya gambar sebelah kiri tu masa tahun ketiga kot Adaa di Belfast. Lupa dah haha. Baru lepas solat raya. Kat sana masjid takda. Belfast ni bukanlah besar pun, kecil saja. Surau yang selalu kami guna untuk solat setiap hari atau solat jumaat hanyalah rumah 2 tingkat yang dijadikan surau. Jadi tak boleh nak muat ramai sangat.
Jadi kalau hari raya kena sewa tempat yang lebih besar seperti dewan supaya boleh memuatkan lebih ramai orang. Bukan orang Melayu je ada kat sana, yang lebih ramai orang Arab lah. Seronok jumpa orang dari pelbagai negara tetapi seagama.
Lepas solat, kalau takda kelas, kami yang muda remaja ni apa lagi, serbu rumah senior lah. Ini lah masanya nak merasa makan nasi impit, rendang, kuah kacang bagai. Memang berjalan jelah sampai kenyang haha. Gambar kanan tu rasanya masa tahun ke 2. Lepas kelas, serbu rumah senior pergi makan hehe.
JOM BERAYA!
Tak cukup dengan siang, kita serbu malam pulak. Selalunya tak dapat nak pergi banyak rumah pun dalam satu hari sebab kekangan masa. Almaklumlah, bukan cuti pun. Dengan kelas lagi, assignment lagi memang terhad lah masa. Jadi selalunya kami buat appointment dulu dengan tuan rumah yang nak dilawati tu. Barulah dapat makan, kalau main terjah je silap-silap air kosong jelah nanti.
Tahun-tahun seterusnya, Adaa dan rakan serumah selalunya akan bahagi tugas nak masak apa. Ada yang buat rendang, nasi impit, adaa pula suka masak Kuzi. Kami bukan ramai pun, 4 orang je serumah. Tahun-tahun akhir baru ramai sebab tinggal di Malaysia Center iaitu kediaman milik kerajaan Malaysia. Rumah banglo 3 tingkat, bilik pun ada 8 kot..Lupa pulak. Adaa duk di loteng menghadap laman belakang rumah yang ada buai dan pokok epal. Masa tu memang seronok sebab ramai kan. Meriah lah. Siap ada tema raya pula masa tu. Sederet pakai baju merah jambu hehe
Setiap tahun juga komuniti Melayu Belfast akan adakan jamuan raya di Malaysian Center. Yang untungnya ramai Chef, jadi masakan ala-ala hotel gitu ha..Apa lagi kalau raya haji, kambing golek siap! Perh!
RINDU MALAYSIA
Kalau kata tak rindu memang tipu. Malam hari raya kami selalunya akan bertakbir di Malaysian Center. Dan dah jadi kebiasaan mesti akan ada yang menangis. Tengah duk mengalun takbir ada pula selang seli sendu sedu sedan. Sedih tau, teringat kampung, keluarga. Tapi nak buat macam mana..huhu
Masa macam nilah sebenarnya hubungan kami semakin rapat. Masa kita junior, senior akan tenangkan kita. Memandangkan kami sangat sedikit bilangannya berbanding komuniti Melayu di bahagian UK yang lain seperti Manchester, Loughborough, Cardiff, dan banyak tempat lain lagi, jadi kami perlu bergantung antara satu sama lain. Boleh dibilang dengan jari je komuniti Melayu Belfast ni. Merekalah senior, merekalah keluarga.
Bila kita pula jadi senior, kita pula perlu pastikan junior yang datang tu selesa, tak terlalu rindukan keluarga di Malaysia. Memang sedih, susah, tapi itulah pengorbanan kan. Bukan semua orang dapat peluang belajar di negara orang. Jadi bertabah jelah.
SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 2018
Kenangan beraya di perantauan memang satu pengalaman yang berharga. Walaupun dah berlalu tetapi tetap Adaa ingat sampai sekarang. Kepada senior yang masih di Belfast yang mungkin baca entry Adaa ni, salam lebaran Adaa ucapkan. Terima kasih juga atas juadah yang enak dulu hehe.
Begitu juga dengan semua yang tengah baca entry ni. Semoga lebaran tahun ini lebih bermakna buat semua. InsyaAllah.