Air Detoks Epal Dan Kayu Manis
Selamat Hari raya!! Lama betul cuti raya tahun ni kan? Seminggu beraya macam-macam makan, minum. Kalau pergi 10 rumah, 10 jenis makanan dan minuman lah yang kita makan ye tak? Jadi, disebabkan perut dan terima macam-macam makanan, apa kata kita kembali ke pangkal jalan. Marilah kita insaf dan makan secara sihat semula. Badan pun kalau boleh cakap dia dah cakap dah suruh kita berhenti makan pelbagai juadah yang mengundang kalori berlebihan tu ye tak? Oleh sebab tu, hari ni Adaa nak kongsikan satu resepi air detoks yang sangat-sangat popular dan sangat mudah untuk dibuat serta sangat bagus untuk detoks tubuh kita ni. Dalam artikel kali ini, Adaa bukan sahaja akan berkongsi resepi air detoks, tetapi Adaa akan kongsikan juga apa kelebihan air detoks epal dan kayu manis ni.
AIR DETOKS EPAL DAN KAYU MANIS
Memang banyak sangat resepi air detoks ni tetapi kali ini Adaa nak kongsikan satu resepi sahaja iaitu yang paling mudah dan popular iaitu air detoks epal dan kayu manis.
Bahan-bahan:
- 1 batang kayu manis saiz sederhana
- 1 Biji epal bersaiz kecil atau sederhana dihiris nipis (hijau atau merah tak kisah)
- Sedikit ais
- Air kosong
Cara-cara:
- Masukkan 1 batang kayu manis dalam botol/jag
- Masukkan potongan epal tadi
- Masukkan ais memenuhi kira-kira separuh botol/jag
- Masukkan air kosong dan sejukkan kira-kira sejam sebelum diminum
TIPS
Sejukkan dalam sejam sebelum diminum supaya rasa dan khasiat dari epal dan kayu manis dapat menyerap ke dalam air
KELEBIHAN AIR DETOKS EPAL DAN KAYU MANIS
Terdapat banyak kelebihan epal dan kayu manis sehinggakan ianya diguna pakai dalam resepi untuk detoks tubuh kita. Malah ianya merupakan salah satu resepi yang sangat popular setelah diperkenalkan pada tahun 2012 sehinggalah sekarang. Apa manfaat yang boleh kita dapat dari resepi mudah ni?
1. MENINGKATKAN METABOLISME
Ini paling jelas. Selalunya orang minum untuk detoks dan juga pada masa yang sama menurunkan berat badan kan. Jadi kita perlukan sesuatu yang dapat meningkatkan metabolisme badan. Ini adalah salah satu resepi terbaik.
2. KAYA DENGAN SERAT DAN VITAMIN
Epal merupakan salah satu buah yang sangat sesuai untuk mereka yang ingin menurunkan berat badan. Ianya mengandungi serat yang tinggi yang boleh membantu anda rasa lebih kenyang dan membantu sistem penghadaman yang baik. Epal juga kaya dengan vitamin yang boleh meningkatkan kesihatan secara menyeluruh selain bagus sebagai makanan detoks.
3. MEMBANTU PEMBAKARAN KALORI
Kulit kayu manis merupakan salah satu herba yang paling biasa dalam kalangan kita masyarakat melayu dan juga barat. Ianya mampu membantu meningkatkan metabolisme badan dan membantu membakar kalori berlebihan. Ini menjadikan ia sebagai salah satu makanan semulajadi yang sesuai bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan.
AIR DAN DETOKS
Sebenarnya, komponen utama dalam apa juga air detoks ialah air itu sendiri. Kita semua sedia maklum rasanya kepentingan air dalam hidup kan. Tubuh kita ni memerlukan air untuk sistem tubuh kita berfungsi dengan baik, kekal hidrat dan sihat. Setiap 25kg berat kita, kita memerlukan 1 Liter air. Jadi anda boleh tahu sendiri berapa liter air yang anda perlukan setiap hari.
Kalau anda suka minum air, memang tiada masalah. Tetapi kalau rasa bosan, nak rasakan sedikit kelainan boleh lah cuba pelbagai jenis resepi air detoks. Ini boleh membantu kita supaya lebih rajin minum air kosong tu. Kalau tak, asyik nak pekenan teh tarik lah, soda lah dan sebagainya.
Pokoknya, amalkan minum air kosong yang mencukupi dan pelbagaikan air kosong anda tu dengan buah atau bahan semulajadi disekeliling anda ok?
Selamat mencuba!