5 Kelebihan Berpuasa
Lagi dua hari sahaja kita akan menyambut 1 Ramadhan. Ini kalau bulan puasa ni tengok gambar kat atas tu pun meleleh air liur tau. Alhamdulillah, bersyukur kita masih dipanjangkan umur untuk bertemu dengan bulan yang mulia ini dan mendekatkan lagi diri kita dengan Allah. Peluang yang datang hanya setahun sekali kan. Selain ianya bulan untuk beribadah dengan lebih fokus dan tekun, Ramadhan juga adalah bulan kesihatan tau. Allah takkan menjadikan sesuatu dengan sia-sia. Semua ada tujuan dan kelebihan, begitu juga dengan berpuasa. Jadi, apa pula kelebihan berpuasa di bulan Ramadhan dari segi kesihatan? Kali ini Adaa akan kongsikan 5 kelebihan berpuasa yang mungkin kita semua belum tahu. Kalau dah tahu ini kira ulangkaji lah ya 😛
5 KELEBIHAN BERPUASA DI BULAN RAMADHAN
1. MEMPERBAIKI SISTEM BADAN
Ketika berpuasa, sistem tubuh kita akan membina semula serta menjana sistem yang baru serta menyingkirkan sel yang rosak. Bukan baju, perabot aja nak kena baru untuk Syawal tau. Badan pun sama juga!
2. MENGURANGKAN BERAT
Bagi yang asyik bertangguh nak menurunkan berat badan, ini peluang emas anda. Bila bulan puasa, tak boleh ponteng-ponteng lagi. Kena tekad sebab kita menjalankan perintah Allah. Jadi secara tak langsung, kita juga dapat menurunkan berat badan kita dengan lebih sihat. Dengan syarat, janganlah makan berlebihan ketika berbuka dan lewat malam. Sia-sia je nanti.
3. KANDUNGAN GULA DALAM DARAH STABIL
Karbohidrat memang boleh membahayakan kalau diambil secara berlebihan. Orang Malaysia ni kalau tak ambil nasi, roti, mee, gula dalam satu hari memang tak sah. Jadi bulan Ramadhan ni kita akhirnya dapat kurangkan pengambilan karbohidrat. Apabila kurang makan karbo, tubuh kita akan dengan sendirinya menggunakan glukosa simpanan untuk tenaga dan dengan itu, gula dalam darah akan lebih rendah dan lebih sihat!
4. AWET MUDA
Siapa sangka puasa pun boleh melambatkan penuaan tau. Jangan tak tahu. Dengan berpuasa, kita kurang menggunakan tenaga untuk sistem tubuh seperti penghadaman, jadi mitochondria kita kurang terbeban dan dengan itu memperlahankan proses penuaan.
5. KULIT LEBIH CANTIK
Bulan ni lah kita dapat detoks badan secara natural. Berpuasa membantu menyingkirkan toksin dan meningkatkan fungsi organ tubuh. Hasilnya tenaga dapat dibekalkan dengan lebih baik termasuklah meningkatkan kesihatan kulit.
Jelas? Semoga Ramadhan ini membantu kita menjadi muslim yang lebih baik dan juga dapat memberikan kita kesihatan yang lebih cemerlang. Jangan ponteng puasa ya!